Serlahkan potensi diri melalui Kursus Lonjakan Sahsiah dan Emosi (KLOSE) anjuran KRIM Gombak

Gombak, 11 Julai – Kelab Remaja ISMA (KRIM) cawangan Gombak dengan kerjasama Unit Kaunseling Sekolah Menengah Kebangsaan Gombak Setia telah mengadakan Kursus Lonjakan Sahsiah dan Emosi (KLOSE) 2010 bertempat di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Gombak. Kursus ini berlangsung selama 2 hari 1 malam (10-11 Julai 2010) dan melibatkan pelajar-pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Gombak Setia dari Tingkatan 1 hingga 5 merangkumi 32 pelajar lelaki dan 30 pelajar perempuan. Antara objektif kursus ini adalah untuk menyedarkan para peserta tentang potensi diri masing-masing di samping membina keyakinan diri.

Hari pertama kursus ini dipenuhi dengan satu program motivasi khas yang disampaikan oleh seorang motivator berpengalaman, Tuan Haji Aminuddin bin Yahya, yang juga merupakan Penasihat KRIM Pusat. Program sepanjang hari ini memperlihatkan semangat jati diri di dalam diri peserta berjaya diserlahkan oleh motivator melalui pelbagai aktiviti yang menguji mental dan kreativiti para peserta. Antaranya adalah ujian kiraan masa serta cabaran-cabaran yang perlu disahut para peserta seperti melambung telur tanpa pecah dan sorakan semangat dari para peserta.

Pada malam harinya, para peserta dipertontonkan dengan tayangan berkisarkan anak yang tidak menghormati orang tuanya yang sedikit sebanyak menyentuh hati para peserta. Selepas itu, aktiviti ‘night walk’ dijalankan di sekitar kawasan Universiti di mana para peserta diminta untuk bermuhasabah diri tentang kehidupan dan hubungan mereka dengan orang-orang yang menyayangi mereka terutama ibu bapa dan tidak lupa juga guru-guru mereka. Acara kemuncak pada malam tersebut ialah acara ‘candle light’ di mana para peserta diminta merenung dan kemudian menulis tingkah laku negatif mereka di atas sekeping kertas dan membakarnya di dalam nyalaan lilin sebagai simbolik membuang sifat tersebut.

Pada keesokan paginya para peserta memulakan hari dengan aktiviti riadah seperti main bola ikat kaki dan tutup mata. Kemudian, mereka disajikan dengan pelbagai aktiviti cabaran dan halangan seperti membina struktur tertinggi dengan surat khabar bagi pelajar lelaki dan membuat ‘life chart’ atau ‘carta kehidupan’ bagi pelajar perempuan. Selepas itu, para peserta telah diminta menulis sepucuk surat untuk sesiapa sahaja yang mereka rasa penting bagi meluahkan perasaan mereka selepas menghadiri kursus tersebut.

Pada akhir kursus, wakil-wakil peserta masing-masing dari peserta lelaki dan perempuan tampil ke hadapan menyatakan maklum balas terbuka mereka tentang kursus tersebut. Rata-rata berharap kursus tersebut boleh diperpanjangkan serta mengharapkan agar para peserta lain iaitu kawan-kawan mereka mendapat manfaat dari kursus tersebut.

KRIM Gombak selaku penganjur kursus merasa bersyukur kerana diberi peluang untuk berinteraksi dan menyentuh hati para peserta yang sememangnya mempunyai potensi diri yang sungguh hebat tersebut. Melalui kursus ini para peserta telah dilibatkan dengan aktiviti berpasukan, aktiviti yang menyentuh emosi, aktiviti fizikal dan aktiviti motivasi yang semuanya diharap dapat membantu melonjakkan sahsiah dan emosi mereka ke tahap yang dapat membawa mereka, melangkah jauh dari yang biasa.

Kursus Kepimpinan Remaja SM Sains Hulu Selangor 2010

Sekali lagi KRIM Gombak telah diberi kepercayaan penuh oleh pihak pengurusan SM Sains Hulu Selangor apabila telah berjaya menganjurkan Kursus Kepimpinan Remaja SEMASHUR 2010 bertempat di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Gombak pada tanggal  26-27 Jun 2010.

Program 3 hari 2 malam ini telah disertai oleh 50 para pemimpin pelajar daripada Semashur Islamic Society (SIS), yang merupakan salah satu badan pembantu tadbir di SEMASHUR.  Para peserta juga merupakan pelajar-pelajar terpilih naqib dan naqibah di SEMASHUR.

 

Program yang diadakan ini mempunyai objektif khusus yang telah ditetapkan oleh pihak SIS iaitu untuk memberi pendedahan mengenai kaedah dan pengurusan usrah dan halaqah. Kursus ini juga menitikberatkan aspek motivasi  kendiri dan jatidiri yang perlu ada pada seorang nuqaba.

Kursus kepimpinan ini  dimulakan dengan slot motivasi kepimpinan yang dipimpin sepenuhnya oleh Tn Hj Aminuddin Yahya yang merupakan seorang tokoh usahawan terkenal merangkap Setiausaha Agung ISMA, sebuah NGO dakwah yang tidak asing lagi. Beliau telah menekankan akan pentingnya untuk memastikan semua ciri-ciri pemimpin agar ada dalam diri setiap peserta . Beliau juga memberi penekanan terhadap aspek menerobosi potensi diri yang ada kerana sesungguhnya manusia itu dijadikan dengan pelbagai potensi yang hebat.

Hari kedua kursus bertumpu kepada pengurusan usrah berkesan. Saudara Usamah b Izer, graduan UIAM telah menyampaikan satu pembentangan menarik mengenai kepentingan usrah dan kaedah pengendalian usrah yang berkesan. Slot yang penuh dengan pengisian teori ini diikuti dengan sesi bengkel simulasi di mana setiap kumpulan peserta lelaki dan perempuan dikehendaki melakarkan model ‘Usrah Idaman’ yang ingin diaplikasikan di SEMASHUR. Melalui bengkel ini, para peserta telah diberi peluang untuk merekacipta usrah idaman masing-masing berdasarkan kefahaman terhadap teori usrah dan diakhiri dengan pembentangan daripada setiap kumpulan. Pelbagai komentar kritis diajukan oleh para peserta terhadap model-model yang dibentangkan. Di penghujung bengkel, mereka telah berjaya mencapai kata sepakat mengenai model  ‘usrah idaman’ terbaik yang akan dipraktikkan di SEMASHUR.

Sesi di sebelah petang diteruskan dengan satu forum istimewa yang menampilkan beberapa tokoh belia  yang juga bekas pelajar SEMASHUR. Forum ini membincangkan mengenai peranan dan cabaran belia.

Kursus diteruskan dengan aktiviti outdoor dimana para peserta telah diminta untuk membina sebuah model ‘Jambatan dakwah ‘ berdasarkan kefahaman masing-masing tentang dakwah. Dengan menggunakan peralatan yang serba kekurangan, semua kumpulan telah berjaya membina model masing-masing yang  telah diadunkan bersama-sama kefahaman yang diterima.

Pada sebelah malamnya, Para peserta  disajikan dengan tayangan perdana ‘Sang Murabbi’ , sebuah filem kisah benar menelusuri kisah kehidupan seorang murabbi tarbiah yang hebat.  Filem hebat ini sedikit sebanyak telah berjaya menyuntik semangat para peserta.

Hari terakhir kursus diteruskan dengan pembentangan 10 ciri-ciri muslim unggul yang disampaikan dengan jayanya oleh al-Fadhil Ustaz Ahmad Alauddin b Kamal, Pensyarah Darul Quran. Penyampaian yang sungguh berkesan ini insha-Allah diharapkan dapat member kesan yang mendalam terhadap jiwa para peserta untuk terus bermotivasi melakukan perubahan kendiri kea rah yang lebih baik.

Slot terakhir penuh debaran akhirnya tiba apabila satu  ujian penilaian ringkas diadakan di mana para peserta diuji tahap kefahaman mengenai semua topic yang telah dibincangkan sepanjang kursus.  Penilaian ini penting demi memastikan para peserta yang merupakan bakal-bakal peneraju kepimpinan di sekolah memahami sejelas-jelasnya segala perkara yang telah dibincangkan.

 

Kursus diakhiri dengan majlis penyampaian sijil dan sesi fotografi.

Karnival Larian Islami, Kesihatan dan Kekeluargaan (KLIKK 2010)

 

Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) cawangan Gombak dengan kerjasama Persatuan Belia Islam Nasional (Pembina) cawangan KL dan Masjid Rahimah, Jalan Greenwood akan menganjurkan Karnival Larian Islami, Kesihatan & Kekeluargaan pada hari Sabtu, 17 hb Julai 2010 bermula jam 8 pagi hingga 5 petang.
Penyertaan adalah percuma.

Antara aktiviti menarik ialah acara larian, pemeriksaan kesihatan, pesta buah-buahan, jualan produk-produk, sukaneka kanak-kanak dan kempen derma darah.

Hadiah-hadiah berjumlah RM5,000 menanti para pemenang peserta larian.

Untuk maklumat lanjut sila hubungi Saudara Lufti (019-5058793) atau Saudari Farah (013-3105613) atau layari website kami di www.KLIKK2010.info

Bawalah kawan-kawan serta ahli keluarga untuk turut sama memeriahkan Karnival Larian Islami, Kesihatan & Kekeluargaan kita.

Jom ke KLIKK 2010!

PERTANDINGAN MENULIS CERPEN ISLAMI ANJURAN BERSAMA KELAB REMAJA ISMA DAN TELAGA BIRU

AYUH JANGAN LEPASKAN PELUANG ANDA UNTUK MENUNJUKKAN BAKAT PENULISAN ANDA DAN MEREBUT HADIAH YANG LUMAYAN.

MAKLUMAT LEBIH TERPERINCI ADA DI BAWAH :

KRIM Gombak anjur Seminar Pendidikan Kerjaya Daerah Gombak 2010

Gombak, 10 April 2010- Sekali lagi Kelab Remaja ISMA cawangan Gombak melakar sejarah dalam memperkasakan agenda dan halatuju Remaja apabila dengan jayanya menganjurkan Seminar Pendidikan Kerjaya peringkat daerah Gombak 2010. Program yang dianjurkan dengan usahasama Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Gombak ini telah diadakan di Dewan Seri Tanjung, Sekolah Berasrama Penuh Integrasi (SBPI) Gombak yang merupakan antara sekolah yang terbaik di negara ini.

Lebih kurang 350 orang pelajar dari sekolah-sekolah menengah di sekitar daerah Gombak menyertai Seminar Kerjaya kali ini

Continue reading

Terap nilai kesyumulan Islam dalam Kem Remaja Muslim anjuran KRIM Gombak

Kepong, 13 Mac – Kelab Remaja ISMA (KRIM) cawangan Gombak telah mengadakan Kem Remaja Muslim 2010 bertempat di Kem Perah, Institut Penyelidikan Perhutanan (FRIM), Kepong. Bertemakan “revitalise body, reenergise spirit, rekindle iman”, kem ini telah disertai oleh 32 orang pelajar dari sekitar kawasan Gombak. Kem perkhemahan yang berlangsung selama 2 hari 1 malam ini disajikan dengan pelbagai program kerohanian, kecergasan fizikal dan minda berteraskan nilai – nilai Islam yang syumul.

Taklimat oleh Kem Komandan, saudara Fahmi

Continue reading

KRIM cungkil bakat penulisan remaja melalui Pertandingan Esei Maulidur Rasul 1431H/2010M

Bersempena dengan sambutan Maulidur Rasul 1431H bersamaan 2010M, Kelab Remaja ISMA cawangan Gombak telah mengadakan Pertandingan Menulis Esei Maulidur Rasul. Pertandingan yang julung-julung kali dianjurkan oleh KRIM Gombak ini telah mendapat kerjasama dari Pejabat Pendidikan Daerah Gombak dan menerima penyertaan yang memberangsangkan. Continue reading