Gombak, 11 Julai – Kelab Remaja ISMA (KRIM) cawangan Gombak dengan kerjasama Unit Kaunseling Sekolah Menengah Kebangsaan Gombak Setia telah mengadakan Kursus Lonjakan Sahsiah dan Emosi (KLOSE) 2010 bertempat di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Gombak. Kursus ini berlangsung selama 2 hari 1 malam (10-11 Julai 2010) dan melibatkan pelajar-pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Gombak Setia dari Tingkatan 1 hingga 5 merangkumi 32 pelajar lelaki dan 30 pelajar perempuan. Antara objektif kursus ini adalah untuk menyedarkan para peserta tentang potensi diri masing-masing di samping membina keyakinan diri.
Hari pertama kursus ini dipenuhi dengan satu program motivasi khas yang disampaikan oleh seorang motivator berpengalaman, Tuan Haji Aminuddin bin Yahya, yang juga merupakan Penasihat KRIM Pusat. Program sepanjang hari ini memperlihatkan semangat jati diri di dalam diri peserta berjaya diserlahkan oleh motivator melalui pelbagai aktiviti yang menguji mental dan kreativiti para peserta. Antaranya adalah ujian kiraan masa serta cabaran-cabaran yang perlu disahut para peserta seperti melambung telur tanpa pecah dan sorakan semangat dari para peserta.
Pada malam harinya, para peserta dipertontonkan dengan tayangan berkisarkan anak yang tidak menghormati orang tuanya yang sedikit sebanyak menyentuh hati para peserta. Selepas itu, aktiviti ‘night walk’ dijalankan di sekitar kawasan Universiti di mana para peserta diminta untuk bermuhasabah diri tentang kehidupan dan hubungan mereka dengan orang-orang yang menyayangi mereka terutama ibu bapa dan tidak lupa juga guru-guru mereka. Acara kemuncak pada malam tersebut ialah acara ‘candle light’ di mana para peserta diminta merenung dan kemudian menulis tingkah laku negatif mereka di atas sekeping kertas dan membakarnya di dalam nyalaan lilin sebagai simbolik membuang sifat tersebut.
Pada keesokan paginya para peserta memulakan hari dengan aktiviti riadah seperti main bola ikat kaki dan tutup mata. Kemudian, mereka disajikan dengan pelbagai aktiviti cabaran dan halangan seperti membina struktur tertinggi dengan surat khabar bagi pelajar lelaki dan membuat ‘life chart’ atau ‘carta kehidupan’ bagi pelajar perempuan. Selepas itu, para peserta telah diminta menulis sepucuk surat untuk sesiapa sahaja yang mereka rasa penting bagi meluahkan perasaan mereka selepas menghadiri kursus tersebut.
Pada akhir kursus, wakil-wakil peserta masing-masing dari peserta lelaki dan perempuan tampil ke hadapan menyatakan maklum balas terbuka mereka tentang kursus tersebut. Rata-rata berharap kursus tersebut boleh diperpanjangkan serta mengharapkan agar para peserta lain iaitu kawan-kawan mereka mendapat manfaat dari kursus tersebut.
KRIM Gombak selaku penganjur kursus merasa bersyukur kerana diberi peluang untuk berinteraksi dan menyentuh hati para peserta yang sememangnya mempunyai potensi diri yang sungguh hebat tersebut. Melalui kursus ini para peserta telah dilibatkan dengan aktiviti berpasukan, aktiviti yang menyentuh emosi, aktiviti fizikal dan aktiviti motivasi yang semuanya diharap dapat membantu melonjakkan sahsiah dan emosi mereka ke tahap yang dapat membawa mereka, melangkah jauh dari yang biasa.
Filed under: Uncategorized | Leave a Comment »













